Aluan PKGBP


Assalamualaikum wbh dan Salam Sejahtera...


Bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izinNya USTP PKGBP telah membangunkan laman blog rasmi sebagai satu usaha untuk menyalurkan maklumat serta aktiviti daripada pihak PKG mahupun SSTP (BTPN Terengganu).
     Kemajuan dalam teknologi komputer dan era baru pendidikan pada hakikatnya ingin memastikan revolusi maklumat akan mempengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh. Teknologi komunikasi akan mempengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh dalam semua aspek, baik atau buruk sama ada yang diingini ataupun tidak.     Teknologi komunikasi dan maklumat adalah medium sumber maklumat yang mudah dan cepat untuk memperolehi ilmu pengetahuan.Kesedaran kepada kepentingan teknologi maklumat ini telah mendorong kerajaan untuk menerapkan bidang tersebut ke peringkat atau tahap pendidikantermasuk di luar bandar. Ini adalah kerana selain daripada kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), satu lagi kemahiran asas yang diperlukan oleh pelajar untuk bersaing di alaf baru ini ialah celik komputer.     
     
     Oleh itu, kebolehan dan kemampuan menggunakan komputer dengan cekap dan berkesan dapat membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kini tiba masanya Malaysia bersaing dalam arus pembangunan pembelajaran global dengan memantapkan sistem pendidikan sedia ada setanding kualiti pendidikan berteraskan ICT di peringkat antarabangsa. Sejak kerajaan mengumumkan usaha meningkatkan penggunaan ICT dalam pelbagai sektor, bidang pendidikan tidak terkecuali.      Matlamat penubuhan Pusat Kegiatan Guru (PKG) adalah untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan melalui keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah yang dilaksanakan oleh guru. Selaras dengan peranan teknologi dalam pendidikan dan hasrat serta objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM) 2013 – 2025, peranan PKG perlu dimantapkan. PKG masa kini berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan khususnya dalam penyebaran dan perkembangan inovasi untuk merealisasikan teknologi sebagai pengupaya PdP abad ke-21. 
     Dalam melaksanakan peranan tersebut, PKG memberi perkhidmatan khidmat bantu serta kepakaran berkaitan inisiatif-inisiatif ICT yang dilaksanakan di sekolah untuk meningkatkan kualiti PdP. Buku Panduan Pengoperasian PKG ini disediakan khusus untuk semua warga Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan cawangan, ianya menjelaskan peranan PKG, pengoperasian perkhidmatan PKG serta peranan Jawatankuasa Pemuafakatan Aktiviti (JKPA) PKG. Oleh itu saya yakin sekiranya setiap warga BTP dan sekolah malah seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami dan menghayati buku panduan ini, In Sya Allah PKG mampu menjadi Pusat Kecemerlangan Teknologi Pendidikan yang diiktiraf bukan sahaja di peringkat KPM malah di peringkat antarabangsa. Panduan ini memerlukan sokongan padu dan penghayatan yang jitu semua pihak untuk memastikan inisiatif ICT KPM dan Pembestarian Sekolah memenuhi objektifnya.     
   
     Akhir kata saya merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada pasukan kerja penyediaan laman blog rasmi Pusat Kegiatan Guru Bukit payong ini. Saya sentiasa berdoa agar usaha murni tuan-tuan dan puan-puan akan terus dirahmati dan saya yakin, keikhlasan serta pengorbanan seperti inilah yang dapat menggerakkan fikiran serta emosi masyarakat untuk memberi penghormatan dan penghargaan secara berterusan kepada warga pendidik di semua peringkat. Saya percaya dengan segala usaha dan komitmen kita bersama mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia.


AZFI BIN ALIAS 
Penolong PPD USTP 
PKG Pusat Kegiatan Guru Bukit Payong 
Marang
Terengganu