Peranan PKG

Peranan PKG adalah untuk mengatasi dan merapatkan jurang perbezaan dalam pencapaian pendidikan sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar. Di samping itu juga PKG menyediakan perkhidmatan pinjaman alatan dan membantu dalam membina bahan pengajaran dan pembelajaran dengan kos yang rendah. Matlamat penubuhan PKG juga adalah untuk memperkenalkan dan membiasakan guru dengan asas pengetahuan dan penggunaan teknologi maklumat. Matlamat penubuhan PKG adalah jelas bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui keberkesanan pengajaran pembelajaran di bilik darjah yang dilaksanakan oleh guru. PKG telah berusaha untuk mencapai perkara-perkara seperti berikut :

·          Memupuk kesedaran para pendidik terhadap pentingnya peranan teknologi pendidikan dalam perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.


·   Memberi khidmat bantuan yang boleh memenuhi keperluan meningkatkan mutu pengajaran khususnya untuk faedah sekolah-sekolah di luar bandar.

·          Menggalakkan para pendidik menyampaikan pelajaran dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif melalui penggunaan pelbagai media pendidikan, dengan memberikan latihan serta khidmat nasihat dan bantuan teknikal.

·           Membantu dalam perancangan dan pelaksanaan sebarang pembaharuan kurikulum.

Pada hari ini, fokus dan peranan PKG turut berubah secara dinamik, sejajar dengan perubahan perkembangan pendidikan tanah air. Tuntutan negara untuk menjadi negara maju dan merealisasikan PPPM 2013 – 2025 dan Digital Malaysia dan Wawasan 2020 dilihat menyumbang kepada usaha memartabatkan teknologi pendidikan melalui dasar pembestarian sekolah. Peranan PKG supaya menjadi sebuah pusat kecemerlangan pendidikan khususnya dalam penyebaran dan perkembangan inovasi yang dicipta untuk merealisasikan teknologi maklumat dan telekomunikasi. Dalam era perubahan yang amat pesat dalam teknologi pendidikan dan teknologi maklumat sekarang, PKG telah memberi banyak sumbangan. PKG merupakan sebuah organisasi yang bersifat mesra pengguna dan tempat membolehkan guru membuat perbincangan dan mengikuti kursus. PKG juga berperanan mewujudkan tempat berkongsi pengalaman tentang bahan-bahan sumber pendidikan dan pemikiran guru serta para pendidik lain, mendapat maklumat tentang hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan serta dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk mencapai hasrat ini sesebuah organisasi perlu melalui proses kejuruteraan semula bagi meningkatkan fungsian sistem di samping memperkemaskan lagi struktur sistem tersebut. Sumber manusia yang dibangunkan perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan segala peralatan yang berkaitan dengan teknologi maklumat, di samping dapat menambahkan nilai.

Melalui aplikasi teknologi canggih dalam bidang pembelajaran ini, peranan sekolah akan turut berubah dan menjadi bertambah luas. Revolusi teknologi pembelajaran ini tentunya akan mengakibatkan berubahnya peranan dan fungsi guru, dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memartabatkan pendidikan bertaraf dunia. Sekolah juga telah dibekalkan dengan kemudahan teknologi pendidikan melalui pelbagai projek pembestarian sekolah dan berorientasikan inisiatif ICT seperti projek PPSMI, makmal komputer, Pusat Akses Sekolah, Projek LAN, peralatan dan perisian Makmal Bahasa MBMMBI, TV LCD, Kampus ASTRO, EduwebTV, mata pelajaran Literasi Komputer dan sebagainya. Keupayaan penguasaan kemahiran menggunakan peralatan akan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan. Ringkasnya, pelbagai peralatan dan perisian ICT seperti komputer, LCD, notebook, sistem multimedia, EduWebTV dan Learning Management System (LMS) telah berada di sekolah. Pada masa yang sama Bahan Bantu Mengajar (BBM) dibekalkan terus ke sekolah bagi membantu guru. Dengan ini, guru ke PKG bukan lagi dengan tujuan untuk membina atau menerbitkan bahan tetapi lebih kepada khidmat nasihat dan kepakaran. . Rajah di bawah menunjukkan model ICT PKG yang digunakan sekarang. Model ini meliputi pengukuran berasaskan empat lapisan, bermula daripada lapisan dalaman (L1) seterusnya ke lapisan luaran L2 hingga L4. Perincian lapisan-lapisan tersebut adalah seperti berikut: